mutakhir

Empat warga asing ingkar PKP dipenjara, denda

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

EMPAT lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara dan denda di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu ke atas tiga warga Indonesia iaitu M Mahyun Had, 19; Ruslan, 28 dan Ahmad Suhardi Ali, 22, dan warga Bangladesh, Md Jane Alom, 22, selepas mereka mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

M Mahyun dan Ruslan dihukum penjara 30 hari, Ahmad Suhardi dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM300 manakala Md Jane dijatuhi hukuman penjara selama 10 hari serta denda RM300.

Khir Nizam turut mengarahkan Ahmad Suhardi dan Md Jane menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Semua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah - Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama.

Semua tertuduh ditahan pada 12, 14 dan 15 April lalu di lokasi berasingan di sekitar Jempol.

Di mahkamah sama, M Mahyun dan Ruslan turut dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama.

Kedua-duanya mengaku bersalah dan Khir Nizam menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan ke atas M Mahyun manakala Ruslan dihukum penjara selama empat bulan.

Khir Nizam mengarahkan hukuman penjara terhadap M Mahyun dan Ruslan berjalan serentak.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 6:02pm
d