mutakhir

Anak Sarawak hasilkan video ucapan hari jadi KP Kesihatan

Oleh Joshua Erric

SEKUMPULAN anak Bumi Kenyalang bergabung tenaga menghasilkan satu video khas ucapan ulang tahun kelahiran ke-57 Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Video berdurasi 55 saat itu telah dikumpul dan disunting seorang guru dari sebuah sekolah rendah dalam daerah Sri Aman iaitu Jones Mackean, setelah menyedari tarikh lahir hero Malaysia berkenaan di laman Facebook.

Dalam video itu, Jones bersama Najihah Bohari (Kuching), Carlos Michael (Betong), Sarjan Gabriel Katang (Kuala Lumpur), Gideon Junau Gerald (Samarahan), Ivan Gordon (Kch), Christin Victoria (Simanggang) dan seorang individu yang enggan identitinya mengucapkan selamat hari jadi buat Noor Hisham.

Menurut Jones, tujuan utama video itu dihasilkan adalah untuk menunjukkan penghargaan mereka kepada Noor Hisham yang tidak pernah jemu dalam menyampaikan berita berkaitan Covid-19 kepada rakyat Malaysia.

“Bagi kami, Dr Noor Hisham adalah seorang insan yang amat bekerja keras bersama petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19 serta menyalur maklumat terkini pandemik berkenaan pada setiap masa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hero Malaysia itu juga memiliki perwatakan seperti seorang ayah yang sentiasa menasihat dan mengambil berat tentang semua rakyat dalam mengharungi Covid-19.

“Penghasilan video ini diharap dapat menyedarkan beliau bahawa anak jati Bumi Kenyalang sentiasa berdiri di belakangnya bagi sama-sama mengharungi pandemik berkenaan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Najihah pula berpendapat bahawa Dr Noor Hisham adalah seorang adiwira yang amat berdedikasi serta rendah diri ketika memerangi penularan pandemik itu bersama petugas barisan hadapan yang lain.

Katanya, beliau berpendapat bahawa hero Malaysia itu memiliki sikap yang tenang namun tegas dalam menyampaikan pesanan kepada setiap rakyat di negara ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah rajin mendengar maklumat dan saranan yang disampaikan oleh beliau di media arus perdana di samping patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan.

“Kerjasama kita berhubung usaha terbabit adalah amat penting demi tidak mensia-siakan pengorbanan petugas bahagian hadapan seperti doktor, jururawat, polis, tentera dan lain-lain agensi terbabit yang bertungkus-lumus memerangi pandemik berkenan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 6:08pm
    d