mutakhir

Malaysia kerjasama dengan 6 negara cari vaksin

Oleh Mahaizura Abd Malik

ENAM negara bersetuju bekerjasama dengan Malaysia dalam aspek pembangunan vaksin dan perubatan merawat pesakit Covid-19.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia merekodkan 70 vaksin Covid-19 sedang dibangunkan di mana lima entiti berada pada fasa penilaian klinikal serta terdapat negara berkongsi kepakaran pengeluaran perubatan yang boleh diguna pakai untuk merawat Covid-19 seperti Hydroxychloroquine (HCQ) dan anti malaria.

Katanya, hubungan baik antara Malaysia dengan negara terbabit amat berguna untuk memastikan usaha ini dapat dijayakan serta memastikan Malaysia tidak ketinggalan menerima manfaat.

“Sebagai peringkat pertama, kita sudah mendapatkan beberapa jenis perubatan untuk merawat pesakit Covid-19, sebagai contoh Bosnia bersetuju membekalkan HCQ kepada Malaysia, ini berdasarkan perbualan saya bersama Menteri Luar Bosnia pada 14 April lalu.

“Turki juga bersetuju supaya Menteri Kesihatan dari kedua-dua negara saling berhubung untuk memperkasakan kerjasama, ini juga berdasarkan perbincangan saya bersama Menteri Luar Turki pada minggu lalu.

“Selain itu, India memberi kelulusan eksport kepada Malaysia bagi ubat HCQ dan Malaysia juga berpotensi untuk mengadakan kerjasama melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara untuk pertukaran tenaga pakar dan kajian makmal bagi ‘complementary medicines’, katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, beberapa syarikat dari China turut berhasrat menjalankan ujian makmal dan percubaan klinikal bersama Malaysia dalam penghasilan vaksin.

“Russia bersedia untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan negara luar dan Malaysia mempunyai potensi melalui Joint Malaysia-Russia Commission for Economic, Scientific, Technical and Cultural Cooperation sebagai platform untuk kerjasama saintifik.

“Singapura juga menyatakan hasrat untuk bekerjsama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi penghasilan ‘Biotech Research Equipment’,” katanya.

Menurutnya, Malaysia juga sedang mengenal pasti untuk bekerjasama dengan negara lain yang berpotensi dalam penghasilan vaksin.

“Korea Selatan dan Amerika Syarikat kini dalam proses penghasilan anti viral vaksin dan perubatan melalui syarikat farmasi yang dikenal pasti.

“Manakala United Kingdom dan Jerman kini berada di peringkat pengujian klinikal menjelang pertengahan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, Wisma Putra akan memastikan Kementerian Sains, Teknologi dan Invovasi (MOSTI) serta KKM dihubungkan dengan negara yang dikenal pasti bagi memastikan usaha berkenaan dapat dijayakan.

“Bagi usaha memerangi pandemik Covid-19, MOSTI akan mengenal pasti negara yang mempunyai penyelidikan saintifik dan pembangunan vaksin terbaik.

“KKM pula berperanan meneliti kesesuaian perubatan dan vaksin bagi diguna pakai di Malaysia.

“Kementerian Luar Negeri melalui hubungan diplomatik dengan negara luar akan memastikan Malaysia diberikan keutamaan untuk menerima vaksin dan perubatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 6:09pm
d