mutakhir

7 kluster masih ada kes positif Covid-19

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

TUJUH kluster jangkitan Covid-19 yang dikesan di negara ini masih mempunyai kes positif baharu hasil ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu adalah kluster import dari Itali, persidangan agama di gereja di Kuching, petugas kesihatan di Kuching, Madrasah di Jerantut Pahang, Madrasah di Melaka, Selangor Mansion dan pusat perubatan di Kuala Lumpur.

“Kluster import dari Itali di Sarawak mempunyai pertambahan lima kes dengan jumlah keseluruhan 59 kes.

“Persidangan agama di gereja mempunyai empat kes baharu menjadikan keseluruhan 139 kes dan kluster petugas kesihatan di Kuching pertambahan dua menjadikan keseluruhan 40 kes,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Noor Hisham berkata, kluster Madrasah di Jerantut, Pahang pula mempunyai lapan kes baharu dengan jumlah keseluruhan 75 kes, manakala madrasah di Melaka pertambahan satu kes menjadikan keseluruhan 38 kes.

“Kluster Selangor Mansion ada pertambahan satu kes dengan jumlah terkini adalah 85 kes dan pusat perubatan di Kuala Lumpur juga pertambahan satu kes menjadikan jumlah terkini lapan kes,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM mengenal pasti seramai 13,223 pelajar tahfiz di seluruh negara dan sudah melakukan ujian saringan ke atas 4,618 pelajar.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 298 atau 6.5 peratus pelajar dikesan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 7:16pm
    d