mutakhir

Antibodi bukan jaminan tidak dijangkiti semula

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

TIADA data dalam kertas penyelidikan setakat ini yang menunjukkan antibodi dihasilkan seseorang pesakit sembuh Covid-19 itu akan melindunginya daripada dijangkiti semula.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini laporan diterima menerusi ujian dilakukan beberapa pesakit dikesan seolah-olah positif semula selepas sembuh sebenarnya adalah dalam peringkat 'virus shedding' atau peluruhan virus.

Beliau berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan terdapat lima kes sebegitu dilaporkan namun ujian mendapati ia didapati pengesanan kes positif lemah.

"Dalam keadaan ini, walaupun ujian didapati positif lemah tetapi ia tidak menjangkiti dan itulah proses 'virus shedding'. Sebagaimana saya maklumkan sebelum ini membabitkan satu kes rakyat Brunei dibenarkan pulang dan apabila kembali ke negaranya seterusnya dibuat ujian didapati positif.

"Apabila kita kaji semula kes itu dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) KKM bersama sejawat di Brunei mendapati virus itu adalah 'shedding' iaitu positif yang lemah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham mengulas soalan wartawan mengenai laporan di Sabah bahawa terdapat lima pesakit Covid-19 yang sebelum ini sembuh namun dikesan positif semula.

Mengulas lanjut, beliau berkata sepatutnya orang yang sudah pulih akan ada antibodi tetapi sekarang ini dalam kertas penyelidikan tiada data menunjukkan antibodi itu dapat melindungi seseorang itu daripada dijangkiti semula.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 8:18pm
    d