mutakhir

Maut kereta terhumban ke gaung

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

PENOREH getah maut apabila kereta dipandunya terhumban ke dalam gaung sedalam 10 meter akibat hilang kawalan dalam kemalangan di Jalan Kampung Tengah, Batu Balai, Kuala Krai, hari ini.

Dalam kejadian 2.40 petang, mangsa Afifi Majdi, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan awal mendapati kereta Honda Civic yang dipandu mangsa dari arah Kampung Becah Salak menghala ke Kuala Krai.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum menjunam ke dalam gaung.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.49 petang sebelum sepasukan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pihaknya mendapati sebuah kereta berada di lereng bukit dan berjaya membawa keluar mangsa dalam tempoh 15 minit sebelum dibawa naik ke atas menggunakan pengusung untuk diserahkan kepada polis.

Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 8:47pm
d