mutakhir

Mujur sempat keluar

Oleh Abdul Rahemang Taiming

JURUELEKTRIK nyaris rentung selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar dalam kemalangan di Batu 7 Jalan Apas di Tawau, semalam.

Dalam kejadian 6.45 petang itu, lelaki berusia 45 tahun yang memandu bersendirian itu dikatakan gagal mengawal kenderaannya ketika melalui selekoh sebelum terbabas di pembahagi jalan.

Akibat kejadian itu, kereta dipandu mangsa kemudiannya terlanggar tiang lampu sebelum terbalik dan terbakar.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana berjaya merangkak keluar dari Toyota Hilux yang terbakar itu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Batu 10 Jalan Apas menuju ke rumahnya di Taman Megah Jaya.

“Siasatan lanjut mendapati kejadian berpunca dari kecuaian pemandu sendiri yang memandu laju di kawasan selekoh sehingga gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.50 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan terbakar sepenuhnya dan operasi pemadaman segera dilakukan bagi mengawal api kebakaran sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.18 malam.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 11:34am
d