mutakhir

Jururawat ditahan menunggang motosikal secara melulu [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

JURURAWAT lelaki ditahan polis di rumahnya dekat Air Itam, Georgetown, semalam kerana menunggang motosikal berkuasa tinggi secara berbahaya.

Tindakan lelaki berusia 28 tahun itu dikesan menerusi rakaman videonya merentasi Jambatan Pulau Pinang dalam masa dua minit 10 saat sebelum memuatnaik video terbabit di media sosial beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit, 5.52 petang semalam.

Katanya, penahanan dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai rakaman video berkenaan yang dipercayai dirakam pada 1.30 tengah hari, 17 April lalu.

“Menerusi rakaman video itu jelas menunjukkan motosikal jenis Kawasaki Ninja 636 cc terbabit ditunggang dengan kelajuan maksima sehingga melebihi 300 kilometer sejam.

“Rakaman itu juga menunjukkan motosikal berkenaan ditunggang dalam keadaan melulu dan membahayakan iaitu dengan memotong serta mencelah ke kiri dan ke kanan kenderaan lain,” katanya kepada media, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, jururawat hospital swasta itu sudah dibawa ke balai polis bagi siasatan lanjut.

Katanya, ujian saringan air kencing didapati negatif daripada pengambilan dadah.

“Lelaki itu dibenarkan bagi diikat jamin dan kes akan dituduh di mahkamah pada 7 Mei depan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 12:01pm
d