mutakhir

5 kenderaan rosak dihempap pokok tumbang

Oleh Ruwaida Md Zain

LIMA kenderaan rosak akibat dihempap pokok tumbang di sekitar daerah ini petang semalam, susulan hujan lebat dan angin kencang yang melanda.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5 petang berhubung kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi.

“Kami terima laporan pokok tumbang akibat hujan lebat serta angin kuat di Seksyen 9, 16, U8 dan U2.

“Pasukan PANTAS MBSA kemudiannya ke lokasi dan memotong pokok yang tumbang selain membersihkan lokasi berkenaan bagi memudahkan pergerakan kenderaan,” katanya dihubungi hari ini.

Shahrin berkata, pada kejadian pokok tumbang di Seksyen 16 pula, MBSA turut dibantu anggota tentera dan polis daripada segi kawalan trafik dan lalu lintas.

“MBSA berterima kasih kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengawal lalu lintas. Ia membantu mempercepatkan kerja-kerja pemotongan serta pengalihan pokok,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan pihaknya menerima lima laporan polis membabitkan kerosakan lima kenderaan akibat kejadian itu.

Malam tadi, tular di media sosial beberapa gambar kenderaan rosak dan terjejas akibat dihempap pokok di sekitar TTDI Jaya, Shah Alam.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 1:25pm
d