mutakhir

Ikan lumba-lumba terdampar di perairan Pahang

Oleh Mohd Rafi Mamat

IKAN lumba-lumba spesis Indo-Pacific Humpbacked yang menghuni Lautan India dan Pasifik ditemui mati di pesisir pantai dekat Kampung Serandu, Pekan, semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, pihaknya ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan penemuan bangkai mamalia dewasa itu yang sepanjang 244 sentimeter (cm) dan berat dianggar 170 hingga 200 kilogram (kg).

“Kita tidak dapat mengetahui jantina ikan lumba-lumba, mahupun punca kematiannya kerana badannya mulai mereput dan dipercayai mati seminggu lalu.

“Dipercayai ikan lumba-lumba ini terpisah daripada kumpulannya. Setakat ini pemeriksaan luaran tidak mengesan kecederaan serius yang boleh dikaitkan dengan kematiannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdullah berkata, ikan lumba-lumba adalah spesis yang dilindungi di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) (Pindaan) 2008.

Terdahulu, beliau memberitahu menyiasat penemuan bangkai itu selepas membaca mengenainya di Facebook Lensa Pekan.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 3:59pm
d