mutakhir

Tambah 242 tangki air statik lagi

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

TAMBAHAN 242 tangki air statik disediakan bagi menangani masalah gangguan bekalan air di Kelantan, sepanjang Ramadan ini.

Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob berkata, sebelum ini pihaknya menyedia lebih 100 tangki statik dan tambahan itu menjadikan keseluruhan hampir 400 tangki statik, setakat ini.

Katanya, dua faktor yang menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air di negeri itu, kemarau dan Air Tak Berhasil (NRW) yang rendah.

“Masalah NRW disebabkan kebocoran di paip utama yang menjadikan bekalan air tidak sampai kepada pengguna.

“Punca kebocoran pula disebabkan paip utama kita sudah lama dan perlu digantikan. Sebagai contoh, jika sejuta liter air yang keluar, mungkin hanya 500,000 liter air sahaja yang sampai kepada pengguna.

“Disebabkan masalah yang berlaku, kita menambah jumlah tangki statik yang dihantar menggunakan lori di kawasan yang terjejas sepanjang Ramadan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya akan memastikan penduduk kampung menjaga jarak sosial dan patuh kepada arahan bagi mengelak berlakunya penularan wabak Covid-19.

“Memandangkan masalah paip bocor sudah lama, kerajaan negeri sedang berurusan dengan kementerian berkaitan bagi menggantikan paip baharu,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 4:09pm
d