mutakhir

Rumah rosak ditimpa pokok

Oleh Hamzah Osman

ANGIN kencang menyebabkan harta benda awam rosak dan beberapa pokok tumbang di Jalan Makam Mahsuri, Langkawi, hari ini.

Kejadian pada 6.15 petang itu turut menyebabkan beberapa rumah penduduk rosak apabila bumbung diterbangkan angin, selain dihempap pokok tumbang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.41 petang.

“Sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dikejarkan ke lokasi untuk memberikan bantuan mengalihkan pokok tumbang yang menghempap rumah.

“Ketika dalam perjalanan, pasukan terbabit terserempak kejadian tiang telefon tumbang merintangi Jalan Makam Mahsuri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak bomba bertindak mengubah tiang dan kabel telefon yang merintangi jalan bagi membolehkan dilalui semula oleh kenderaan.

“Anggota bomba turut membersihkan pokok yang tumbang dan menghempap sebuah rumah di kawasan itu,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 9:39pm
d