mutakhir

Ribut 'terbangkan' bumbung rumah

Oleh Safuri Kamarudin

ANGIN kencang dan hujan lebat serta petir petang tadi menyebabkan 24 rumah di sembilan kampung di Mukim Kupang, Pulai dan Baling mengalami kerosakan.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, ada bumbung rumah penduduk diterbangkan angin dan ditimpa pokok.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab. Aziz berkata, hujan lebat dan ribut selama 30 minit itu menjejaskan sekurang-kurangnya 24 rumah.

Menurutnya, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Kebanyakan rumah bumbung diterbangkan angin selain ada ditimpa pokok dan beberapa jalan dirintangi pokok tumbang. Banyak barang dan perabot rosak terkena air hujan,” katanya.

Mangsa Roziana Hasan ,40, dari Kampung Sera Bawah, Pulai berkata, ketika hujan dan angin dia berada di ruang tamu selepas minum petang.

“Saya terkejut tiba-tiba ruang parkir di hadapan rumah runtuh dan menghempap bahagian depan kereta,” katanya.

Roziana berkata, dia mendengar jirannya melaungkan azan kerana angin terlalu kuat sebelum ia beransur reda.

Jirannya, Che Minah Othman, 60, berkata, bumbung rumahnya diterbangkan angin menyebabkan semua barang dalam rumah rosak.

“Angin kuat datang dan menerbangkan bumbung rumah. Saya terpaksa bermalam di rumah jiran malam ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 9:53pm
d