mutakhir

Musnah 1,000 pokok ketum

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SEBANYAK 1,000 pokok ketum dimusnahkan dalam satu operasi bersepadu ditanah milik kerajaan di FELDA Lui Selatan Dua, Jempol, hari ini.

Pegawai Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, operasi itu kali ketiga dijalankan pihak berkuasa sejak 2015 apabila ada individu mengambil kesempatan menanam pokok ketum di atas tanah seluas 12 hektar itu,,

“Pokok ketum ditanam kebanyakan bernilai tinggi dan sudah matang dan operasi memusnahkan pokok ketum dibuat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

“Kami masih mengesan pihak bertanggungjawab melakukan pencerobohan di tanah milik kerajaan itu dan sekiranya didapati bersalah boleh didenda sehingga RM10,000,” katanya.

Operasi berkenaan turut disertai Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) Raja Norazli Raja Nordin.

Sementara itu, Mohd Khairiel berkata, siasatan awal mendapati daun ketum jenis jambu dijual pada harga RM100 sekilogram manakala daun ketum urat merah RM40 sekilogram.

Katanya, operasi dijalankan susulan serbuan di beberapa lokasi yang membabitkan aktiviti memproses air ketum.

Seramai 35 anggota daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari itu.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 10:40pm
d