mutakhir

Guangdong sumbang topeng, sarung tangan

Oleh Amir Mamat

HUBUNGAN akrab terjalin antara Melaka dan Wilayah Guangdong, China terbukti apabila wilayah berkenaan menyumbangkan barangan keperluan pencegahan Covid-19 untuk kegunaan barisan hadapan di negeri ini.

EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sumbangan itu tanda hubungan baik Melaka bersama wilayah berkenaan melalui Persefahaman Perhubungan Diplomatik ‘Sister State’ pada 21 September 2015.

Beliau yang juga Wakil Melaka ke Guangdong berkata, menerusi sumbangan itu, kerajaan negeri menerima sebanyak 70,000 unit penutup hidung dan mulut dan 25,000 pasang sarung tangan yang tiba bersama lapan pakar perubatan China pada 18 April lalu.

Beliau berkata, Melaka turut menerima bantuan 10,000 penutup hidung dan mulut daripada Wilayah Sichuan serta 20,000 unit lagi daripada Majlis Bandaraya Xian yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 25 dan 28 April ini.

“Ketika kita berhadapan dengan situasi sukar seperti mereka terlebih dahulu melalui ‘lockdown’ hingga cemerlang, sudah pasti sumbangan ini menggambarkan hubungan akrab kedua-dua pihak sejak beberapa tahun lalu.

“Sumbangan ini akan diberikan kepada barisan hadapan termasuk hospital kerajaan dan swasta di negeri ini selain disalurkan kepada setiap 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diagihkan kepada pihak yang memerlukan,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada wakil DUN dan penduduk di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan DUN (JAPERUN) Sungai Udang, Melaka, hari ini.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 10:49pm
d