mutakhir

Pasar seringgit Klebang Besar dapat sambutan

Oleh Amir Mamat

PASAR Seringgit Ramadan yang dianjurkan Pertubuhan Pembela Klebang Besar di Pulau Gadong, Melaka mendapat sambutan ramai hari ini.

Penjualan seawal jam 7 pagi itu bukan saja dikunjungi penduduk di Kampung Pulau Gadong, tetapi sekitar Klebang Besar.

Pengerusi Pertubuhan Pembela Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan berkata, pihaknya terpanggil menganjurkan program terbabit bagi membantu masyarakat kampung yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, keadaan itu menyukarkan penduduk untuk ke pasar atau pasar raya bagi mendapatkan bekalan basah.

“Kami menyediakan barangan basah seperti sayur, buah-buahan, ayam dan daging dengan harga paling murah berbanding tempat lain.

“Dengan cara ini, bukan saja memberi kemudahan kepada mereka tetapi juga menjimatkan, sekali gus mengurangkan beban penduduk,” katanya selepas perasmian pasar itu oleh Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan.

Pelbagai jenis sayur dijual dengan harga RM1 seikat, jagung (RM1 sebiji) selain ayam daging (RM10 seekor) dan daging segar (RM29 sekilogram).

Mohd Yusof berkata, pihaknya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta Jabatan Pertanian dalam menjayakan program itu.

“Kami akan menganjurkan program yang sama setiap minggu sepanjang Ramadan ini dan diharap lebih ramai peniaga akan menyertainya,” katanya.

Sementara itu, Norhizam berkata, beliau bercadang meluaskan lagi Pasar Seringgit Ramadan di beberapa lokasi tumpuan di negeri ini.

Katanya, sebagai permulaan, Pasar Basah Terkawal akan diadakan minggu depan di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pengkalan Batu.

“Ia satu langkah bijak, kerana ketika PKP dilaksanakan, ada pihak yang sudi merancang satu program yang membantu rakyat.

“Sudah pasti kerajaan negeri akan menyokong usaha terbabit demi kepentingan rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 11:10am
d