mutakhir

Laung azan, bumbung rumah diterbangkan angin

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“SELESAI laung azan tiga kali, terus bumbung diterbangkan ribut,” kata Hasnan Darmawan, 66, dari Kampung Parit Ismail 3, Bagan Serai mengenai kejadian ribut yang merosakkan kediamannya semalam.

Menurutnya, dia bersama isteri dan dua anak berlindung di dapur berikutan takut apabila melihat bumbung rumah ‘diangkat’ angin beberapa kali.

“Hampir tiga minit kami menyaksikan bumbung utama rumah terangkat akibat angin kuat.

“Sebaik selesai melaungkan azan, tiba-tiba keseluruhan bumbung utama hilang diterbangkan ribut.

“Tidak ada apa yang kami mampu lakukan dan hanya berputih mata melihat bumbung diterbangkan ribut,” katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan dan sumbangan awal Pegawai Peribadi Ahli Parlimen Bagan Serai, Kamaruzaman Arshad.

Menurutnya, ia merupakan kejadian kedua dalam tempoh lima bulan selepas berlaku pada Disember lalu yang turut menyebabkan turut musnah ditimpa pokok mempelam dalam kejadian ribut itu.

“Kejadian ini merupakan ujian dan dugaan berat untuk kami sekeluarga dalam menghadapi persediaan menyambut Ramadan esok,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian Noor Hafizah@Noor Ulin Ismail dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 105 keluarga membabitkan 54 buah rumah di kawasan Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai terjejas dalam kejadian itu.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang pusat perpindahan dibuka.

Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 2:45pm
d