mutakhir

Alasan tak boleh pakai

Oleh Juwan Riduan

HISAP ganja untuk berhibur dan menenangkan fikiran.

Itu alasan diberi enam individu termasuk dua beradik yang ditahan polis pada serbuan di sebuah rumah di Kampung Likas di sini, jam 3 petang kelmarin.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Semua suspek berusia 23 hingga 29 tahun dan polis turut merampas ganja seberat 56.73 gram bernilai RM567.30.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ganja terbabit yang dibungkus dalam pelbagai saiz ditemui di beberapa bahagian rumah itu.

"Semua yang ditahan positif dadah dan mereka mengaku mengambilnya untuk berhibur dan menenangkan fikiran.

"Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat awam serta risikan," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Habibi, kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(A) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara selain sebatan.

Katanya, semua suspek turut disiasat mengikut Peraturan 3(2) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Jangkitan) (No.3) 2020.

Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 2:59pm
d