mutakhir

Suri rumah berkawal elak PPR jadi sarang Covid-19

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SEKUMPULAN suri rumah sanggup menggalas tugasan berat dengan menjadi sukarelawan berkawal di pintu masuk ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lintas Sibuga di Sandakan, bagi mencegah penularan Covid-19.

Sebelum ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) meminta setiap perumahan PPR di Sandakan menubuhkan jawatan kuasa bagi mengawal pergerakan penduduk.

Antara sukarelawan berkenaan iaitu Junaidah Elau, 50-an, yang mengambil peluang keemasan itu untuk membantu melindungi penduduk PPR berkenaan.

"Saya memang minat menjadi sukarelawan dan langkah ini kami ambil bagi mencegah penularan Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Seorang lagi suri rumah, Rohana Estim, 40-an, berkata, sepanjang bertugas, pelbagai cabaran mereka lalui.

"Antaranya dilontarkan dengan kata-kata kurang enak. Kadang-kala kami dipersoal kerana menjaga pintu masuk berkenaan.

"Mereka sering tanya kami siapa. Tetapi kami terangkan dengan sebaiknya dan beritahu mereka bahawa kami menjaga PPR ini supaya terhindar daripada Covid-19.

"Kami bersabar demi kebaikan semua pihak," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) PPR berkenaan, Ali Basah Nusol berkata, 36 penduduk menjadi sukarelawan PPR terbabit dan 11 daripadanya adalah wanita yang juga suri rumah.

"Mereka melakukannya secara sukarela," katanya.

Beliau berkata, bagi memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk, pihaknya menyediakan pelekat khas kenderaan.

"Kami harap semua penduduk memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha menghentikan penularan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 5:25pm
    d