mutakhir

'Teringat memori berpuasa, beraya di hutan'

Oleh Nazri Abu Bakar

"BERPUASA dan beraya di hutan dalam keadaan hidup atau mati antara kenangan tidak dilupakan," kata bekas tentera, Yaacob Hassan mengenang kembali tugasnya memburu komunis pada sekitar 1970-an.

Yaacob, 68, berkata ia kekal kenangan terindah dan paling bermakna demi memastikan keamanan negara tidak dimusnahkan oleh kekejaman komunis.

Walaupun pergelangan tangan kanannya putus akibat terkena jerangkap samar pada 21 April 1976, ia memberi makna besar terhadap perjuangannya untuk negara yang sentiasa menjadi keutamaan walaupun terpaksa berpuasa dan berhari raya di hutan.

Menurutnya, berhari raya di dalam hutan selama dua minggu tidak melunturkan semangatnya untuk bertugas dengan dedikasi walaupun tanpa keluarga di sisi.

"Jauh sekali nak makan sedap termasuk ayam golek, lemang atau nasi himpit dan rendang. Apa yang ada hanya makanan yang menjadi bekalan dan perlu berjimat bagi memastikan tidak kehabisan stok.

"Kami pernah makan biskut sekeping sehari, selain ketiadaan bekalan air sehingga seminggu dan menggunakan sumber air daripada akar pokok bagi menghilangkan dahaga," katanya.

Beliau berkata, ketika di hutan memburu komunis, apa yang berlegar di fikirannya adalah sama ada hidup atau mati sebentar lagi atau keesokkan harinya.

Justeru, katanya, mereka perlu berhati-hati sepanjang masa daripada segi kawalan suara, pergerakan, aktiviti dan tindakan perlu sentiasa fokus terhadap arahan ketua.

"Berpuasa selama sebulan dan dua minggu berhari raya di hutan tebal di Perak sekitar 1971 sesuatu yang tidak dilupakan ketika bersama RejimenAskar Melayau Diraja (RAMD).

"Selain itu, berpuasa dua kali selepas menyertai anggota Rejimen Gerak Khas antara peristiwa masih diingati setiap kali Ramadan," katanya yang tinggal di Tanah Merah, Pantai Kundor, Melaka.

Menurutnya, insiden jerangkap samar menyebabkan tiga anggota komando parah dalam operasi tentera 'Ops Gubir 2' di sempadan Kedah/ Thailand pada 1976 antara kisah hitam dikenang sehingga akhir hayat yang menyebabkan pergelangan tangannya putus.

Katanya, pasukannya ketika itu ibarat masuk ke kandang harimau apabila dikelilingi komunis dan dia tercampak tiga meter selepas terkena jerangkap samar menyebabkan tangan kirinya hancur.

Manakala, tangan kanan yang turut terkena letupan terpaksa ditampal dengan kulit paha dan dia terlantar lebih dua bulan di hospital.

Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 7:26pm
d