mutakhir

Pecah masuk pasar raya curi 45 guni bawang

Oleh BERNAMA

"AMBIL bawang banyak-banyak nak buat kenduri ke?," tanya Majistret Mahkamah Kuala Lumpur sebelum menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM3,600 ke atas seorang lelaki warga Myanmar yang mengaku bersalah memecah masuk sebuah pasar raya, dua minggu lalu.

"Kamu ambil 45 guni bawang, tetapi polis hanya jumpa enam guni bawang, jadi mana bawang selebihnya," kata Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

Tertuduh, Ali Kasin, 27, yang tidak bekerja bagaimanapun berkata ketika kejadian dia berada dalam keadaan mabuk dan memberitahu mahkamah dia sudah menjual 39 guni bawang pada harga RM15 seguni.

Disoal majistret bagaimana tertuduh membawa 45 guni bawang dengan satu troli, lelaki itu menjawab: "Tiga kali saya tolak troli untuk ambil bawang."

Fardiana Haryanti turut menasihati tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan sama walaupun berada dalam keadaan mabuk.

"Ini kali pertama, saya tengok orang curi bawang dalam kuantiti banyak, 'legend' betul ni curi bawang… mabuk macam mana pun, saya harap kamu cuba kawal dan jangan pecah masuk rumah atau premis orang," katanya.

Kedengaran beberapa orang awam yang berada di dalam mahkamah berkata: "bawang mahal sekarang ini".

Mahkamah memerintahkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dipenjara dari tarikh tangkap pada 14 April dan dipenjara sebulan jika dia gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Ali didakwa memecah masuk ke dalam pasar raya di Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Sentul di sini, pada 1.05 pagi, 11 April lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 7:36pm
d