mutakhir

Persatuan Kebajikan Kasih Sayang sumbang PPE

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

PERSATUAN Kebajikan Kasih Sayang (Ai Xin) Malaysia menyumbangkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) bernilai lebih RM1 juta bagi kegunaan petugas barisan hadapan ketika mengendalikan wabak Covid-19 di negara ini.

Pengerusinya, Datin Fam Yuen Nee berkata, pihaknya menyedari keperluan barangan perlindungan untuk petugas kesihatan mendapat permintaan tinggi ketika ini.

Katanya, atas sebab itu pihaknya tampil untuk menyumbangkan keperluan berkenaan.

"Selaras dengan slogan kami yang menerapkan kasih sayang sebagai arah tuju aktiviti kebajikan Ai Xin, sumbangan berkenaan amat penting untuk membantu barisan hadapan serta kerajaan yang kini bertungkus lumus setiap hari dalam memastikan rantaian wabak ini dapat dikekang.

"Melalui sumbangan ini juga ia secara tidak langsung menyahut seruan Kementerian Kesihatan yang meminta pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk menderma PPE," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Sumbangan diserahkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba oleh Timbalan Pengerusi Ai Xin, Datuk Liu Han Ming.

Dalam pada itu, Fam berkata, kumpulan perubatan barisan hadapan adalah wira kerana bersedia untuk berkorban mendepani risiko penyakit dan memastikan pesakit Covid-19 dirawat dirawat sebaik mungkin hingga menyumbang kepada penurunan angka pesakit pada ketika ini.

"Biarpun kami berpangkalan di Johor Bahru, peperangan melawan wabak ini memerlukan kerjasama dari seluruh negara, maka kami membuat keputusan untuk membantu rakan-rakan di barisan hadapan ini.

"Ini adalah usaha kecil kami. Sekiranya masyarakat dapat bekerjasama seperti ini dengan semangat cintakan negara, sudah pasti kita akan menang dalam membasmi penularan wabak Covid-19 ini," katanya.

Fam berkata, selain memberi sumbangan kepada petugas kesihatan, pertubuhan terbabit turut menyumbangkan barangan penjagaan diri kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai lebih RM300,000 di Johor.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 1:46pm
    d