mutakhir

Polis serbu pusat panggilan judi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang menyasar warga China selepas menyerbu sebuah premis di Bandar Mahkota Cheras, hari ini.

Serbuan pada jam 9 pagi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berjaya menahan 18 individu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, 14 individu ditahan adalah warga tempatan manakala empat lagi warga China berusia 16 hingga 35 tahun.

"Pemeriksaan di premis berkenaan menemui 267 telefon pintar, 18 komputer riba, satu modem dan wang tunai berjumlah RM1,709.

"Semua suspek didapati tinggal di kawasan ini dan menjadikan premis berkenaan sebagai pusat panggilan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Fadzil berkata, siasatan awal mendapati, pusat panggilan judi ini beroperasi sejak sebulan lalu.

"Pelanggan mereka adalah warga China dan keuntungan dicatat sehari adalah RM50,000 hingga RM100,000.

"Siasatan juga mendapati semua pekerja berkenaan dibayar gaji tinggi iaitu RM3,500 sebulan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.

Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 2:13pm
d