mutakhir

APMM selamat dua mangsa bot karam

Oleh Abdul Rahemang Taiming

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan dua mangsa bot karam di perairan Sungai Pukol, Pulau Sebatik, dekat Tawau, petang semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, bot jongkong dinaiki dua lelaki terbabit dilapor mengalami kerosakan enjin sebelum dipukul ombak dan karam kiri-kira satu batu nautika dari barat laut muara Sungai Pukol.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, anggota bot ronda mengesan bot jongkong yang hampir tenggelam sepenuhnya sebelum menemui kedua-dua lelaki terbabit dalam keadaan terapung.

"Kedua-dua mangsa yang tidak mengalami kecederaan itu dibawa pulang ke Sungai Melayu, di Pulau Sebatik 8.30 malam selepas keadaan cuaca kembali tenang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Siva Kumar berkata, perairan Tawau ketika ini sedang menghadapi fasa peralihan monsun dan dijangka berterusan sehingga penghujung Mei.

Katanya, fasa itu tidak mempunyai corak tiupan angin yang konsisten malah dijangka menerima tiupan angin yang lemah iaitu kurang dari 5 knot pada aras permukaan dan sentiasa berubah selain berpotensi berlakunya ribut petir.

"Justeru, komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan selain memastikan keadaan enjin dan bot berada dalam keadaan baik," katanya.

Orang ramai yang berdepan situasi kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau, di talian 089-752115 atau MERS 999.

Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 3:33pm
d