mutakhir

Kebajikan petugas ketika Ramadan dijaga

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

PROGRAM Dapur SADC yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) mampu memberi manfaat kepada petugas barisan hadapan di 11 lokasi di Perak sepanjang Ramadan ini.

Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sumbangan pek makanan yang menelan kos lebih RM22,000 sehari bertujuan memastikan kebajikan petugas beragama Islam terjaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

"Pek makanan ini akan diagihkan terus ke lokasi masing-masing oleh 10 pembekal dilantik mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sama ada untuk bersahur atau berbuka puasa," katanya selepas menyerahkan sumbangan sahur kepada petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.

Zainol Fadzi berkata, antara lokasi terbabit adalah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Hospital Teluk Intan, Hospital Manjung dan Hospital Taiping dengan penyerahan pek makanan antara 300 hingga 400 pek setiap hari.

Selain Ipoh, bantuan sama turut diberikan kepada petugas keselamatan di Tambun, Parit, Kuala Kurau, Sungai Manik dan Tualang Sekah.

"Pada peringkat awal, hanya 1,000 pek makanan sahaja diperuntukkan untuk agihan pada Ramadan ini, namun permintaan Menteri Besar supaya menambah bilangan kepada hampir 3,000 bungkusan sehari," katanya.

Sementara itu, Razarudin berkata, keadaan moral dan momentum anggota polis yang bertugas sepanjang PKP di Perak masih berada pada tahap sama.

Menurutnya, walaupun jumlah sekatan jalan raya ditambah pada PKP fasa ketiga, namun anggota bertugas menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, pada fasa pertama dan kedua PKP, tidak kurang 70 sekatan jalan raya dilaksanakan di seluruh negeri dan sekarang sudah bertambah kepada 96 sekatan jalan raya.

"Saya ada cadangkan agar tempoh bertugas lapan jam kepada setiap anggota ini dipendekkan kepada empat jam sahaja, tetapi kebanyakan anggota sendiri mahukan tempoh bertugas itu dikekalkan.

"Justeru, saya juga yakin anggota dapat mengekalkan momentum sama selaras dengan penguat kuasaan PKP fasa keempat yang bermula 29 April hingga 12 Mei ini," katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 3:54pm
d