mutakhir

20 positif Covid-19 daripada Kluster Kuching Conference

Oleh Mohd Roji Kawi

SERAMAI 50 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kuching disahkan positif Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, seramai 20 daripadanya adalah sebahagian daripada kluster Kuching Conference, manakala 30 orang lagi membabitkan kluster-kluster kecil.

"Ini bermakna mereka bukan daripada kluster Hospital Umum Sarawak (HUS), tetapi kluster lain," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di Petra Jaya, hari ini.

Menurutnya, sebanyak sembilan lagi kes positif Covid-19 baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak kini sebanyak 468.

"Daripada sembilan kes itu, tujuh dilaporkan di Kuching, manakala masing-masing satu kes di Kota Samarahan dan Serian," katanya.

Katanya, sebanyak 17 kes disahkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan yang sudah dibenarkan keluar hospital seramai 148 orang.

"Daripada jumlah itu, 12 pesakit yang sembuh adalah dari Kuching, empat di Kota Samarahan dan seorang di Betong," katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) turut mengumumkan empat lagi bahagian di Sarawak yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon kuning, kini bertukar sebagai zon hijau.

"Bahagian terbabit ialah Sibu, Sarikei, Limbang dan Mukah sekali gus menjadikan lima bahagian pentadbiran di negeri ini kini dalam zon hijau termasuk Kapit yang kekal bebas Covid-19.

"Empat kawasan itu kini dikategorikan sebagai zon hijau apabila tiada kes positif baharu Covid-19 dilaporkan berlaku dalam tempoh 14 hari lalu," katanya.

Katanya, beliau mengingatkan penduduk di lima bahagian itu supaya tidak leka sehingga mengabaikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, beliau berkata seramai 73 individu ingkar PKP ditahan dalam tempoh 24 jam iaitu semalam hingga pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 1,566 orang manakala 997 sudah dituduh di mahkamah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 4:50pm
    d