mutakhir

Buka lembaran baru Ramadan ini [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

"KAMI mahu tutup buku lama dan buka lembaran baru di bulan mulia ini," kata Siti Nor Saadiahton Ishak, 25.

Anak keenam daripada 10 beradik itu, berkata kedatangan Ramadan kali ini amat bermakna dalam hidup mereka sekeluarga apabila dapat bersama-sama bersahur dan berbuka di ruang tamu yang luas.

Katanya, ia sememangnya jauh berbeza dengan kehidupan daif mereka sebelum ini apabila keadaan rumah tidak terurus dan kotor.

"Pagi tadi kami bersahur beramai-ramai makan nasi dengan lauk ayam masak sambal, dan petang nanti saya akan goreng ayam dan masak kicap ikan pula untuk berbuka.

"Kami semua rasa seronok dapat makan bersama dan berhidang berbanding sebelum ini hanya duduk di tempat berasingan dan makan ala kadar sahaja," kata anak kepada pasangan Jamaliah Rejab, 54, dan Ishak Darus, 77.

Keluarga Ishak atau lebih dikenali sebagai Pak Ishak sebelum ini tinggal di sebuah rumah daif di Lorong Gedebang, Jalan Langgar, Alor Setar sejak sekian lama.

Bagaimanapun, mereka berjaya dipujuk pendakwah, Ustaz Ebit Lew untuk berpindah ke kediaman baharu yang lebih selesa di Lorong Fajar, Jalan Sultanah di Alor Setar, Isnin lalu.

Pak Ishak lumpuh akibat angin ahmar, manakala isterinya tidak mampu berjalan akibat luka di kaki kerana mengidap kencing manis kini terlantar di atas katil dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Siti Nor Saadiahton atau lebih mesra dengan panggilan Siti berkata, hidup mereka sekeluarga sebelum ini tidak mempunyai motivasi dan hanya mengharapkan apa yang ada.

Sehinggalah kehadiran Ebit seperti memberi semangat baharu buat mereka sekeluarga untuk hidup dengan lebih teratur.

"Saya akui sudah lali dengan cemuhan orang, bukan kami tidak berusaha untuk berpindah tetapi banyak faktor menyebabkan urusan berpindah terbantut, saya pula hanya bekerja sebagai pembantu kedai kasut.

"Duit banyak dihabiskan untuk membeli makanan dan barang keperluan keluarga sahaja, adik-beradik saya ramai yang tidak bekerja dan saya antara tunggak keluarga," katanya.

Bercerita lanjut, katanya, mereka sekeluarga kini mahu membuang sikap malas, dan adik-beradik lain juga sedang mencari kerja untuk membentuk kehidupan lebih baik.

Katanya, walaupun adik-beradiknya bersekolah sehingga tingkatan satu dan dua sahaja, namun mereka berazam untuk memastikan anak-anak dapat bersekolah sehingga ke peringkat tertinggi bagi mengubah nasib keluarga.

"Kami perlu bermula dengan solat dan belajar mengaji, kami tidak pandai membaca al-Quran termasuk anak-anak saudara, kini semuanya bersemangat untuk belajar mengenal huruf alif ba ta.

"Ustaz Ebit Lew sudah membuka jalan untuk kami menjalani hidup baru, sekarang saya sangat berharap akan ada guru agama yang boleh membimbing kami untuk hidup berlandaskan syariat," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman memaklumkan usaha memujuk Pak Ishak sudah dilakukan sejak 12 tahun lalu, namun keluarga itu enggan berpindah.

Selain ditawarkan rumah, keluarga terbabit turut menerima bantuan kewangan bulanan, bantuan makanan fakir miskin, bantuan awal persekolahan, bantuan Aidilfitri dan bantuan Jaya Diri.

Berita berkaitan

Tidak pinggir keluarga daif

Tak pernah pinggir keluarga Pak Ishak

'Terima kasih Ustaz Ebit'

'Maafkan saya, saya cuma mahu membantu' - Ebit Lew

Rasulullah SAW larang pertikai kebaikan orang

Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 5:43pm
d