mutakhir

1,032 kes keracunan makanan berlaku Ramadan tahun lalu [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

PIHAK yang terbabit dalam perniagaan makanan secara dalam talian termasuk pengusaha, pengendali dan penghantar makanan diingatkan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan diri serta mematuhi garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia bagi memastikan makanan disediakan kepada pengguna selamat.

"Selain itu, mereka juga dinasihatkan sentiasa mengamalkan jarak sosial yang selamat ketika penghantaran makanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pada 2019 terdapat 516 kejadian keracunan makanan yang mana 16,583 kes berpunca dari pengendalian makanan tidak bersih dan selamat.

Daripada jumlah itu, katanya, 34 kejadian keracunan makanan berlaku pada bulan Ramadan 2019 yang membabitkan 1,032 kes.

'Sehubungan itu, orang ramai hendaklah sentiasa memastikan keselamatan makanan ketika membeli atau menyediakan makanan untuk diri sendiri dan ahli keluarga.

"KKM juga ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam penyediaan makanan di rumah bagi mengelakkan keracunan makanan.

"Sentiasa amalkan konsep "Lihat, Hidu, dan Rasa" semasa bulan Ramadan sebelum menikmati juadah berbuka dan bersahur, untuk memastikan makanan tersebut selamat dimakan," katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 6:15pm
d