mutakhir

UM bangunkan CosMos, pantau pesakit disyaki Covid-19

Oleh BERNAMA

SEPASUKAN Penyelidik Universiti Malaya (UM) membangunkan Sistem Pemantauan Gejala Covid (CoSMoS) bagi membantu kakitangan perubatan memantau pesakit yang disyaki jangkitan Covid-19.

UM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan sistem itu mula diguna di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi memantau individu disyaki Covid-19 dan menjalani kuarantin sendiri di rumah serta dijangka boleh memantau pasukan perubatan yang terdedah kepada pesakit Covid-19.

"Pada masa ini, sebilangan besar kakitangan perubatan memantau pesakit ini dengan membuat panggilan rutin kepada mereka atau melawat mereka di rumah.

"Melalui aplikasi CoSMoS, proses pemantauan ini akan diautomasikan dan pesakit boleh memasukkan gejala harian mereka ke CoSMoS, ia akan dihantar ke sistem utama CoSMoS di PPUM yang mana doktor boleh mengakses maklumat masa sebenar melalui papan pemuka," menurut kenyataan itu.

Melalui sistem ini, kakitangan perubatan perlu membuat panggilan hanya kepada 10 peratus pesakit yang memerlukan pengawasan dan selebihnya boleh dipantau melalui CoSMoS sekali gus membolehkan 80 hingga 90 peratus petugas perubatan menjalankan kerja lain seperti pengesanan kontak dan ujian saringan, menurut kenyataan itu.

Pakar Penyakit Berjangkit, yang juga Pengerusi Gerak Kerja COVID-19 PPUM, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, CoSMoS akan mengubah cara menguruskan pesakit disyaki jangkitan Covid-19 yang sedang dipantau di rumah.

"Pada masa ini, sistem penjagaan kesihatan berada di bawah tekanan sangat tinggi, seorang pegawai perubatan akan menggunakan 10 hingga 15 minit setiap hari untuk menelefon pesakit dan memantau pesakit selama 14 hari," katanya.

Beliau, yang juga Dekan Fakulti Perubatan, UM berkata, melalui sistem itu juga, kakitangan perubatan di PPUM tidak lagi perlu membuat panggilan telefon secara manual kepada pesakit.

"CoSMoS juga mengguna pakai teknologi yang sedia ada bagi memastikan ia mampu dan boleh diakses oleh sebahagian besar masyarakat," katanya.

Pada masa ini, CoSMoS yang dibangunkan dalam lapan hari melalui kerjasama termasuk penyelidik Malaysia dari pelbagai negara itu masih dalam proses ujian di PPUM dan mendapat kelulusan etika daripada Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan PPUM.

"Semua pesakit yang menggunakan CoSMoS memberikan kebenaran untuk data mereka digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pemantauan klinikal," katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UM, Datin Prof Dr Sameem Abdul Kareem berkata, CoSMoS adalah 100 peratus keluaran UM, menggunakan mesin pesanan awam, kepintaran buatan dan teknologi web oleh sepasukan saintis komputer muda Malaysia dari fakulti itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 11:09pm
    d