mutakhir

Ayah seolah tahu masanya akan tiba

Oleh Ruwaida Md Zain

RAMADAN kali ini amat berbeza buat tujuh anak Allahyarham Mohd Salleh Abdul Hamid, 69, yang disahkan meninggal dunia akibat Covid-19 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 6.41 pagi, 15 April lalu.

Sebelum ini, anak, menantu serta cucu akan berkumpul di rumahnya di Sabak Bernam untuk berbuka puasa, terawih, moreh serta sahur bersama ataupun allahyarham serta isteri akan ke rumah anak-anak di Rantau Panjang, Klang.

Anak Allahyarham, Ashari Mohd Salleh, 45, berkata, kali ini enam dari tujuh beradik yang tinggal berjiran di sini menyambut Ramadan tanpa ayah tersayang bagi meneruskan tradisi dan pesanan ayah mereka.

"Setiap kali jumpa kami, ayah banyak kali pesan, kalau dia tiada, jangan tinggal solat, jaga ikatan adik beradik...kata ayah, esok kalau ayah tak ada, kamu adik-beradik mesra sebagaimana ayah ada, jangan terputus hubungan, itu selalu ayah ulang.

"Jadi, kami teruskan apa yang kami buat bersama ayah sebelum ini walaupun tidak sama suasana ketika ayah masih ada, malah kakak sulung tinggal di Hulu Langat tidak dapat sertai berbuka puasa kami kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini malam pertama Ramadan, kami amat terasa kerana selalu ada ucapan dan pesanan supaya kami jaga amalan tapi kali ini tiada lagi malah setiap bulan pun ada perjumpaan, usrah adik-beradik dengan menekankan dua perkara tadi," kata anak kedua dari tujuh beradik itu ketika ditemui sebelum berbuka puasa petang semalam, di sini.

Menurut Ashari, ayahnya berkahwin dengan ibu tirinya Sabariah Ibrahim, 56, selepas ibunya Asemah Sajuri, meninggal dunia tujuh tahun lalu dan tinggal di Sabak Bernam.

"Ayah suka buat persiapan awal dalam segala perkara, sejak tiga tahun lalu ayah memilih tinggal di Sabak Bernam bersama ibu tiri kami selepas membina rumah untuk kami adik-beradik serta menyerahkan tahfiz serta taskanya untuk kami uruskan dan ayah hanya pantau dari jauh.

"Ayah cakap, biar ayah duduk di sana, bila ayah sudah tiada, anak-anak tidak terasa sangat kehilangan ayah, itu persiapan dia.

"Ibu tiri kami cakap, kebelakangan ini ayah selalu cakap yang dia akan 'pergi' , dia akan 'balik'. Ayah juga tidak banyak cakap dengan kami," katanya.

Menurut Ashari, perkataan yang kerap diulang dan bermain dibibir ayahnya 'bila meninggal, ayah tidak mahu susahkan anak-anak' dan hendak mati syahid.

"Mungkin asbab Covid-19, kematian ayah diuruskan pihak hospital bukan kami. Sebagai anak, kami nak urus sendiri jenazah ayah sehingga kebumi. Memang terkilan tambah saya anak lelaki yang tua, terkilan tak dapat padahal mampu buat sebab kita belajar, tetapi ini ketentuan Allah, redha itu mengatasi perasaan terkilan.

"Ayah juga selalu cakap, di mana dia meninggal, kebumi di situ, tidak pernah cakap di Sabak Bernam atau Klang, tetapi tanam dekat tempat dia meninggal. Kebetulan ayah meninggal di PPUM dan dikebumikan sekitar kawasan itu.

"Tanpa jenazah dibawa pulang, kami tidak uruskan, ayah pergi tak balik...kadang-kadang hati rasa ayah masih ada tetapi bila tengok kereta dan mak tiri kami ada di sini, baru tersedar, ayah sudah tiada. Kami redha ayah pergi kerana itu ketentuan Allah," katanya.

Katanya, kali terakhir melihat ayahnya malam 19 Mac dan 20 Mac lalu ketika ayahnya dibawa ke PPUM kerana demam.

"Masa itu ayah belum disahkan positif, jadi hati kami masih berharap ayah akan pulih tetapi sebaik hospital hubungi kami pada 23 Mac dan memaklumkan ayah positif, separuh jiwa kami sudah redha dan bersedia walaupun masih mengharapkan ayah pulih," katanya.

Ashari berkata, selain ayahnya, dia juga antara 13 ahli keluarga disahkan positif Covid-19.

"Selain arwah ayah, ibu tiri kami, saya, isteri serta tiga anak saya, adik ketiga dan pasangan, adik ke empat dan pasangan serta dua anak mereka juga dijangkiti wabak Covid-19.

"Alhamdulillah, kami semua sudah pulih hanya anak perempuan saya yang berumur 14 tahun masih dirawat.

"Walaupun dibenarkan pulang kami tetap berhati-hati, masih menjaga jarak, kami solat sama tetapi tidak salam, tak sentuh sebab ada yang belum pulang. Kita tak nak ada yang pergi lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 9:01am
    d