mutakhir

Pukul adik bengang tidur diganggu

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

GARA-GARA tidurnya terganggu, seorang lelaki bagai hilang akal apabila bertindak memukul dua adik perempuannya dengan penyapu dalam kejadian di Kampung Gajah, semalam.

Dalam kejadian pada 2.40 petang itu, kedua-dua mangsa yang berusia 15 dan 19 tahun mengalami lebam dan sakit di belakang punggung serta lutut selepas dipukul suspek berusia 32 tahun terbabit.

Difahamkan, tiga beradik daripada sembilan adik-beradik itu tinggal bersama ibu mereka yang juga ibu tunggal berusia 54 tahun di rumah kedai di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kejadian berlaku apabila adik perempuan suspek berusia 19 tahun mahu menyapu sampah di ruang rehat selepas menunaikan solat.

Menurutnya, pada masa sama suspek sedang berbaring di atas katil di ruang berkenaan dan tiba-tiba lelaki itu memarahi adiknya kerana didakwa mengganggunya yang sedang tidur.

"Mangsa dan seorang lagi adiknya berlari keluar ke hadapan kedai. Suspek mengambil sebatang penyapu lalu memukul seorang adiknya di bahagian punggung sebanyak tiga kali dengan kuat manakala seorang lagi dipukul pada lututnya dengan kuat.

"Selepas itu, suspek mengambil cangkul dan menghala kepada kedua-dua mangsa, namun kejadian itu disedari ibu mereka yang memarahi suspek lalu cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

"Bagaimanapun, suspek kemudian menghalakan cangkul itu kepada ibunya dan mahu memukul wanita terbabit, namun ibunya yang sedang berbaring sempat mengelak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Barudin berkata, suspek bertindak mengambil kerusi dan mahu membaling ke arah ibu serta adiknya, namun tidak jadi berbuat demikian.

Katanya, dia kemudian meletakkan kerusi itu di hadapan ibunya dengan perasaan marah sehingga menyebabkan mereka ketakutan.

"Kedua-dua mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Changkat Melintang tidak mengalami kecederaan serius, kecuali lebam dan sakit di bahagian yang dipukul

"Suspek yang ditahan didapati negatif dadah, namun mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan dadah," katanya.

Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Selasa depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 2:48pm
d