mutakhir

Setuju terus dikuarantin

Oleh Omar Ahmad

LANGKAH kerajaan negeri menetapkan semua pekerja Malaysia yang pulang dari Singapura akan ditempatkan terus ke pusat kuarantin walaupun mempunyai surat pengesahan negatif Covid-19 mendapat reaksi positif golongan berkenaan.

Eksekutif Bangunan, Amirull Firdaus Ahmad Jalani, 26, berkata, langkah kuarantin di pusat kuarantin disediakan adalah kaedah pencegahan terbaik bagi semua pihak.

"Sekiranya individu berkaitan tiba-tiba menunjukkan simptom Covid-19, usaha merawat dapat dijalankan serta-merta kerana dia berada di bawah pemantauan.

"Berbeza jika di kuarantin di rumah, mungkin ia agak lambat seterusnya memberi risiko kepada pihak lain," katanya dihubungi hari ini.

Menurut Amirull Firdaus, dia bersedia untuk dikuarantin sekiranya pulang ke tanah air.

Katanya, ia demi keselamatan semua khasnya keluarga.

Dalam perkembangan lain, Amirull Firdaus tidak bersetuju dengan arahan supaya pekerja Malaysia di republik terbabit perlu membuat permohonan melalui kedutaan Malaysia di Singapura sekiranya mahu pulang ke tanah air.

Katanya, tidak semua pekerja tahu cara untuk memohon selain sebahagian besar pekerja juga tidak tahu bila tarikh akhir bekerja.

"Berdasarkan laporan media, pekerja perlu memohon surat kebenaran sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh pulang ke tanah air.

"Bagaimanapun, sebahagian besar pekerja dan syarikat tidak tahu bila tarikh akhir kerana proses berkenaan terikat dengan syarat-syarat tertentu sesebuah syarikat," katanya.

Amirull Firdaus berharap perkara terbabit dapat diperhalusi semula oleh kerajaan demi kepentingan pekerja juga.

Terdahulu, berdasarkan laporan sebuah portal berita, warganegara Malaysia yang hendak pulang dari Singapura melalui darat dikehendaki mendapatkan permit masuk daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia bermula 27 April.

Mereka perlu berbuat demikian sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh pulang.

Permohonan perlu dibuat menerusi kiriman emel dengan melampirkan dokumen berkaitan.

Jika permohonan berjaya, pihak kedutaan akan membalas emel berserta nombor rujukan untuk dikemukakan semasa pemeriksaan Imigresen di Johor Bahru.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 3:01pm
    d