mutakhir

'Semoga arwah ayah tenang di sana'

Oleh Adnan Ibrahim

"KAMI bertiga dirawat selepas positif Covid-19 namun hanya saya dan ibu yang sembuh, ayah pula kembali menghadap Ilahi," kata warga Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM), Simpang Renggam, Anidah Basri, 49.

Bapanya, Basri Rakob, 81, dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang 20 Mac lalu namun meninggal dunia ketika dirawat pada 14 April.

Anidah dan ibunya, Rahimah Ahmad, 55, turut dirawat di hospital sama selepas disahkan positif Covid-19 namun Rahimah dibenarkan keluar pada 10 April, diikuti Anidah pada 13 April.

"Luluh hati saya dan ibu kerana kami dirawat bertiga, namun hanya dua yang pulang ke pangkuan keluarga.

"Walaupun sedih namun kami reda dengan ketentuan Ilahi," katanya dihubungi, hari ini.

Menurut Anidah, hanya Allah SWT yang tahu perasaan keluarganya apatah lagi ketika menyambut Ramadan kerana ia dijadikan waktu untuk mereka berkumpul.

"Ibu masih bersedih. Sepanjang Ramadan ini, kami akan lebih banyakkan berdoa serta beramal supaya kebaikannya turut dinikmati arwah ayah.

"Paling terpahat dalam fikiran ialah apabila tiada seorang ahli keluarga dibenarkan mengiringi jenazah ayah ketika pengebumian.

"Bagaimanapun, perkara pertama yang akan kami lakukan ialah menziarah kuburnya selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 3:07pm
    d