mutakhir

Sungai Jeram Tinggi Jementah kembali jernih

Oleh Ahmad Ismail.

ALAM seolah-olah semakin indah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila melihat kejernihan aliran air sungai di Jeram Tinggi Jementah, Segamat.

Jika sebelum ini warna air keruh dan berkeladak, kini ia bertukar jernih dan kelihatan berkaca apabila dipanah cahaya matahari.

Penduduk Jementah juga penoreh getah Abd Rahman Salim, 73 mengakui terkejut melihat aliran air di jeram itu menjadi bersih dan dapat kelihatan jelas anak ikan berenang dicelah ketulan bongkah batu.

"Kali terakhir saya mengalami fenomena ini adalah sekitar tahun 1980an. Ketika itu saya berani untuk terus minum air sungai dan itu kali terakhir saya berbuat demikian.

"Sebelum ini pencemaran air berlaku akibat bahan mandian digunakan pengunjung. Bahagian hulu sebelum ini turut berlaku aktiviti perkhemahan selain mencuci peralatan memasak. Keadaan kembali asal ini berikutan tiada aktiviti di persekitaran dan sepanjang jeram kerana penularan pandemik Covid-19,"katanya.

Malah menurutnya, bunyian unggas serta siulan pelbagai spesis burung jelas kedengaran.

"Tiada salahnya lokasi ini dibuka kepada umum namun kesedaran kendiri dan penguatkuasaan lebih tegas harus dilaksanakan.

"Kami berharap tahap kebersihan dan keindahan lokasi pelancongan menarik di Jementah ini dapat terus dikekalkan bukan sahaja sepanjang tempoh PKP, malahan pada masa yang akan datang," katanya.

ABD Rahman Salim bersama isterinya, Sarpah Buntal menunjukkan kejernihan air. FOTO AHMAD ISMAIL

Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 10:19am
d