mutakhir

Peniaga Pasar Awam Bahau positif Covid-19

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

OPERASI Pasar Awam Bahau, Jempol ditutup selama 14 hari bermula esok selepas seorang peniaga di pasar berkenaan disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, penutupan pasar itu dilakukan sehingga 10 Mei bagi membolehkan kerja pembersihan dijalankan selain mengelakkan jangkitan dan penyebaran virus.

Beliau berkata, peniaga berumur 44 tahun itu disahkan positif pada 24 April lalu dan dipercayai daripada Kluster Pasar Borong Kuala Lumpur.

"Seramai 60 peniaga di pasar awam itu diwajibkan menjalani ujian saringan di Medan Niaga Bahau bermula 8 pagi esok.

"Kami meminta semua peniaga terbabit supaya hadir menjalani saringan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syahrul Nizam berkata, keadaan di sekitar bandar Bahau masih terkawal biarpun dimaklumkan terdapat segelintir penduduk panik dengan kejadian itu.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan mengamal kebersihan diri, kekal di rumah dan patuhi setiap arahan daripada pihak berkuasa pada setiap masa.

Berdasarkan kes terkumpul, sehingga semalam seramai 12 pesakit disahkan Covid-19 di Jempol dan semua yang menerima rawatan disahkan sembuh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 2:12pm
    d