mutakhir

Perlu mohon permit kemasukan [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

RAKYAT Malaysia di Singapura yang berhasrat pulang perlu memohon permit kemasukan dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permohonan itu perlu dihantar menerusi e-mel kepada stmsg@mhc.org.sg sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh memasuki negara ini.

Menurutnya, bagi mempermudahkan urusan rakyat Malaysia yang ingin pulang di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (Laluan Kedua), Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura akan mengeluarkan permit kemasukan itu.

"Permohonan sudah dibuka di mana sudah menerima 900 permohonan setakat ini dari rakyat Malaysia.

"Bagi memastikan proses kepulangan mereka berjalan lancar, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat keputusan menerima hanya 400 rakyat Malaysia sehari," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, seperti biasa rakyat Malaysia yang pulang akan tetap dikenakan kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin diwartakan.

"Cuma saya nak ingatkan mesti berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura kerana mereka yang hanya ada permit kemasukan sahaja dibenarkan masuk ke negara ini.

"Selain itu, sebanyak 215 pusat kuarantin dibuka berbanding 209 pada hari sebelumnya dengan 17,265 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib," katanya.

Beliau berkata, semalam, seramai 1,155 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib.

"Seramai 21,180 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu manakala sejak 17 April, 7,559 individu selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 3:20pm
    d