mutakhir

Anak kapal jalani saringan jika penumpang positif Covid-19 [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan berhubung langkah menangani penularan wabak Covid-19 di kalangan anak kapal atau kru penerbangan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perbincangan itu antara lain memperketatkan saringan ke atas anak kapal yang mempunyai sejarah perjalanan ke destinasi tertentu.

"Perkara ini telah dibincangkan. Kita juga melihat (berbincang) anak-anak kapal tidak singgah atau bermalam di tempat tertentu dan mereka kembali.

"Jadi kita akan melihat sama ada mereka ada gejala atau tidak," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, anak kapal juga perlu diuji dan disaring sekiranya ada penumpang positif Covid-19.

"Kalau ada penumpang yang positif, kita akan menjejaki mereka iaitu penumpang dan juga memaklumkan kepada anak kapal terbabit," katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan tiada anak kapal yang dikenal pasti dijangkiti wabak Covid-19.

Semua anak kapal yang pulang ke negara ini perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari seperti yang dijalani oleh rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 5:46pm
    d