mutakhir

Dugaan selepas berbuka puasa [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

PENDUDUK Taman Mangga, Juru di Bukit Mertajam mendakwa kejadian ban pecah menjadi antara punca menyebabkan berlaku banjir kilat di kawasan perumahan itu, malam semalam.

Pemandu lori, Sharizam Abu Othman, 37, berkata hujan lebat melanda pada 4 petang, namun berhenti 30 minit sebelum waktu berbuka puasa.

"Pada ketika itu, tidak ada apa-apa yang berlaku dan saya bersama keluarga berbuka puasa seperti biasa.

"Namun pada 8 malam didapati keadaan luar rumah riuh rendah dengan kenderaan keluar masuk sebelum air memasuki rumah hingga paras bawah lutut," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light, Juru, hari ini.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, kejadian ban pecah berkemungkinan menjadi penyebab banjir kilat berlaku secara mendadak.

"Masa hujan lebat pertama tiada apa-apa pun yang berlaku dan hanya air dalam parit sahaja penuh, tetapi disebabkan berlaku kejadian ban pecah menyebabkan keadaan bertambah buruk," katanya.

Dalam pada itu, isterinya, Ku Fauzana Halim, 34, berkata kejadian ban pecah juga menjadi punca berlaku banjir besar di kawasan berkenaan pada 2016.

"Ia mungkin disebabkan ban mungkin tidak mampu menahan limpahan air hujan yang terlalu banyak lalu pecah dan air memasuki rumah penduduk.

"Mujur kejadian semalam tidak seburuk 2016 yang mana pada ketika itu air naik hingga paras pinggang," katanya.

Dalam kejadian semalam, seramai 120 mangsa membabitkan 26 keluarga dipindahkan ke PPS SJKC True Light dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Juru.

Tinjauan ke dua PPS berkenaan mendapati setiap kelas hanya menempatkan dua khemah bagi setiap keluarga bertujuan menjaga penjarakan sosial dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Selain itu, petugas kesihatan turut berada di kedua-dua PPS berkenaan bagi melakukan saringan kesihatan kepada mangsa banjir.

Berita berkaitan

Banjir kilat di Bukit Mertajam

Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 2:56pm
d