mutakhir

Hanya PPS Bandar Baharu masih beroperasi

Oleh Nor Farhani Che Ad

PUSAT Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Paya Tok Betok, Kulim yang dibuka malam semalam susulan banjir kilat yang melanda daerah itu ditutup sepenuhnya pada 12 tengah hari tadi.

Kesemua 30 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Paya Tok Betok, Sungai Ular sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, hasil pemantauan mendapati banjir kilat yang berlaku petang semalam, sudah pulih sepenuhnya, hari ini.

"Pagi ini kita masih membuka PPS berikutan terdapat dua warga emas yang sakit, dan bagi memberi peluang ahli keluarga membersihkan rumah mereka dahulu sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Dalam perkembangan lain, seramai 26 mangsa membabitkan empat keluarga dari Kampung Cherok Meranti, Sungai Batu masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Bandar Baharu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, ia berikutan hujan lebat dijangka berlaku hari ini, yang boleh menyebabkan paras air sungai kembali meningkat.

"Setakat ini banjir sudah surut, namun kita jangka hujan lebat akan berlaku di sebelah petang hari ini.

"Justeru, kita hanya membenarkan ketua keluarga sahaja pulang ke rumah untuk mengambil barangan keperluan, manakala yang lain tidak dibenarkan pulang atas faktor keselamatan," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 3:19pm
d