mutakhir

Sarawak kawal ketat zon hijau

Oleh Mohd Roji Kawi

RAKYAT Sarawak dari zon hijau sebagai destinasi terakhir di luar negara, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan yang tiba di negeri ini wajib dikuarantin.

Tindakan kuarantin itu harus dipatuhi walaupun mereka sudah menjalani tempoh kuarantin sebelum balik ke Sarawak dan akan diambil sampel pada hari ke-10.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah ketat perlu diambil bagi mengelakkan kawasan zon hijau itu terjejas akibat wabak yang dikhuatiri dibawa dari luar.

Beliau berkata, ketika ini sebanyak 29 daripada 40 daerah di Sarawak sudah dikategorikan sebagai zon hijau berikutan tiada kes positif dalam tempoh 14 hari lalu.

"Kita harus memberikan perhatian yang paling utama untuk melindungi zon hijau, sebab itulah kita melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengelakkan penularan terutama dengan kembalinya sejumlah besar pelajar dari luar Sarawak

"Sehingga hari ini, terdapat 12 kes positif Covid-19 direkodkan berlaku kalangan rakyat Sarawak yang pulang dari luar negara, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Beliau berkata, daripada 12 kes itu, sembilan kes di Kuching membabitkan pelajar yang balik dari luar negara iaitu Indonesia dan Amerika Syarikat, dua kes di Miri membabitkan individu yang baru balik dari Singapura dan Kuala Lumpur manakala satu kes di Sri Aman membabitkan individu yang baru dari Indonesia.

Bagi rakyat Sarawak yang balik dari luar negara, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan yang sudah menjalani tempoh kuarantin sebelum tiba di Sarawak dengan destinasi terakhir mereka adalah kawasan zon merah dan kuning pula, mereka akan dipasangkan "wristband tag" dan dikeluarkan Notis Kuarantin di Rumah.

"Mereka akan di ambil sampel pada hari ketujuh dan jika keputusan sampel adalah negatif, mereka akan terus kekal berada di rumah sehingga tamat tempoh 14 hari," katanya.

Sementara itu, Sarawak hari ini merekodkan tiga kes positif Covid-19 baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 488 kes.

Jumlah pesakit yang sembuh pula meningkat kepada 194 orang dengan 17 orang dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital, hari ini.

Selain itu, dua lagi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kuching disahkan positif menjadikan seramai 52 orang dijangkiti wabak Covid-19.

"Seramai 21 daripada petugas KKM itu adalah dari kluster Kuching Conference manakala 31 orang membabitkan kluster kecil," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 6:30pm
d