mutakhir

Tak pasal-pasal kena tumbuk

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

WARGA emas cedera di hidung dan mata selepas ditumbuk lelaki dikenalinya di sebuah gerai berhampiran sebuah flat di Bangsar, 24 April lalu.

Anak mangsa, Muhammad Abdillah Basri, 32, berkata, bapanya, Basri Jantan, 73, mahu membeli kuih untuk berbuka puasa di gerai berkenaan sebelum ditegur lelaki terbabit.

Katanya, lelaki berkenaan pada mulanya menegur bapanya yang berada dalam barisan kira-kira 10 minit untuk membeli kuih.

"Menurut ayah, dia memaklumkan lelaki itu menegurnya dan bertanyakan sama ada dia penat berdiri ketika berada dalam barisan. Sebaik selepas ayah menjawab agak penat, lelaki itu tiba-tiba menumbuknya dan terus melarikan diri.

"Kejadian itu menyebabkan pendarahan pada hidung dan mata kanan ayah dan dia dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Muhammad Abdillah berkata, bapanya mengenali lelaki berkenaan yang juga penduduk di flat terbabit.

"Saya difahamkan tiada perselisihan faham berlaku antara mereka dan ayah juga tidak tahu sebab lelaki itu bertindak sedemikian.

"Saya sudah membuat laporan berhubung perkara ini di Balai Polis Travers, semalam, untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 11:00pm
d