mutakhir

Dentuman kuat kejutkan penduduk Sungai Siput

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

BUNYI dentuman kuat mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk di beberapa perkampungan di Sungai Siput hari ini.

Bunyi kuat yang dikatakan seakan-akan letupan meriam didengari jam 11.42 pagi itu menjadi perbualan penduduk antaranya mendakwa ia latihan ketenteraan selain letupan kuari batu kapur sehingga tular di Facebook (FB).

Antara kawasan terbabit ialah Taman Yakin Mesra, Kampung Temin, Kampung Tersusun Kledang, Kampung Muhibbah, Felda Lasah, Taman Lintang, Kampung Bahagia, Kampung Talang Trosor, Kampung Perik Enggor, Kampung Makmur dan Karai.

Penduduk, Amyra Amanina Azhar berkata, dia mendengar dentuman kuat ketika berada di rumah mentuanya di Salak Baru hingga menyebabkan tingkap rumah bergegar.

"Ketika itu saya sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat yang menyebabkan tingkap bergegar," katanya.

Penduduk kuarters Hospital Sungai Siput, Masdiana Mohammad Roslan berkata, dentuman itu menyebabkan pintu luncur kaca serta tingkap di rumahnya bergegar.

"Ia berlaku sekejap dalam satu ke dua saat. Mulanya ingatkan ada benda besar jatuh di rumah jiran, rupanya satu (daerah) Sungai Siput mendengarnya.

"Selalunya hanya dengar cerita orang saja. Kali ini sesudah mengalaminya sendiri dan tidak tahu jawapan (puncanya), masih tidak puas hati kerana masih terfikirkannya," katanya melalui hantaran di FB.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin ketika dihubungi hari ini berkata, terdapat kerja pemusnahan bom mortar lama dipercayai peninggalan zaman Jepun di Perlop 1.

Katanya, bom berukuran 60 milimeter (mm) itu dijumpai di kawasan kebun hasil aduan orang awam sebelum dimusnahkan Unit Pemusnah Bom (UPB).

"Hanya sebutir bom diletupkan namun kebiasaan ia tidaklah menghasilkan bunyi yang begitu kuat," katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 12:46am
d