mutakhir

Ugut tikam adik dengan pemutar skru

Oleh Nur Izzati Mohamad

AKIBAT mabuk, seorang lelaki bertindak melemparkan kata-kata kesat sambil mengugut menikam perut adiknya dengan pemutar skru dalam kejadian di Taman Desa Murni, Sungai Dua, Butterworth, malam tadi.

Dalam kejadian pada 8.20 malam itu, mangsa berusia 29 tahun didatangi abangnya berusia 30-an sebelum berlaku pertengkaran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika pertengkaran, abangnya mengambil pemutar skru dan mengugut mahu menikam perut adiknya sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

"Akibat takut dengan perbuatan abangnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Dua pada hari sama.

"Mangsa memaklumkan punca pergaduhan disebabkan abangnya yang sering mabuk dan seorang penagih dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, bertindak atas laporan, pihaknya menangkap abang mangsa.

"Ketika kejadian, ibu bapa dan adik-beradik perempuan mangsa turut menyaksikan pergaduhan di antara mereka berdua.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah namun semakan lanjut mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 11:47am
d