mutakhir

Padah kejar anak saudara dengan parang

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

PENGANGGUR didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, hari ini atas pertuduhan mengugut anak saudara dengan mengejarnya dengan parang pendek, 21 April lalu.

Tertuduh, Mohamad Luqnamul Hakim Yahya, 23, dari FELDA Lui Selatan Dua bagaimana pun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 5.30 petang 21 April, tertuduh didapati melakukan ugutan jenayah dengan mengejar Muhamad Haziq Aqeel Khairul Nizam sambil membawa sebilah parang pendek di kawasan belakang tandas rumah di FELDA Lui Selatan Dua.

Dengan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Khir Nizam menetapkan 10 Jun ini bagi sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam manakala tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di mahkamah sama, tiga sahabat dihukum penjara 14 hari dan denda RM600 selepas mengaku bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengikut kertas pertuduhan ketiga - tiga tertuduh R Mohan, 49; M Yogenthiran, 29; dan S Vathumalai, 49; didapati berkumpul dan meminum minuman keras di tepi jalan di rumah di Kampung Baru Ayer Hitam, pada 9.40 malam 25 April.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun keseksaan.

Khir Nizam turut mengarahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kesemua pendakwaan kes dkendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 12:59pm
d