mutakhir

RM4,000 punya pasal, terus ke tali gantung

Oleh Hazri A Bakar

GANJA dirampas cuma bernilai RM4,000 namun tiga lelaki yang mengedarnya 'berpeluang cerah' untuk ke tali gantung.

Walaupun seberat satu kilogram, ganja mampat ini mampu membekalkan 'tenaga' kepada kira-kira 100 penagih di sekitar daerah ini.

Syabas kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri yang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya melakukan risikan sejak beberapa ketika lalu berkaitan sindiket ini.

"Akhirnya, hasil maklumat awam juga, kami menahan sebuah Perodua Myvi yang berhenti di depan sebuah kedai di Taman Orkid, 4 petang semalam.

"Pemeriksaan menemui ketulan ganja mampat itu diletak di bahagian kaki penumpang depan," katanya, hari ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek yang berusia 25 hingga 39 tahun kini direman bagi membantu siasatan.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati, pemandu Perodua Myvi berusia 26 tahun itu positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol.

Pemeriksaan mendapati, pemandu terbabit turut memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Ganja itu akan dilerai sebelum dibungkus semula. Ia kemudiannya akan dijual pada harga RM25 hingga RM50 dalam bentuk paket 10 gram.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori," katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek turut disiasat mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 2:28pm
d