mutakhir

'Terima kasih yang mendoakan Maleesa'

Oleh Redzuan Muharam

"INI kejadian kali pertama berlaku dan mungkin ujian Allah buat kami sekeluarga pada awal Ramadan," kata ibu empat anak, Intan Fadilah Mohamad Johar.

Intan Fadilah, 31, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perkembangan terkini anak bongsunya, Nur Farah Maleesa berusia 13 bulan yang melecur di bahagian muka dan belakang badan selepas terkena air panas.

Nasib menimpa Nur Farah Maleesa mendapat simpati warganet selepas Intan Fadilah berkongsi gambar keadaan anaknya itu menerusi Facebook (FB) miliknya.

Bercerita lanjut, Intan Fadilah yang menetap di kuarters Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, kejadian berlaku pada 22 April lalu kira-kira jam 11.30 malam sewaktu dia berehat di bilik manakala suaminya, Sarjan Muhammad Fauzan Mohd Pauzi, 31, tidur selepas pulang bekerja.

"Ketika itu, anak sulung saya, Rayqal Iskandar yang berumur lapan tahun membuat minuman dan meletakkan cawan berisi air panas atas meja.

"Belum sempat Rayqal meletakkan serbuk minuman, Maleesa sudah mengambil cawan di atas meja hingga air panas di dalamnya terkena muka dan belakang bahunya.

"Saya dan suami tersedar selepas mendengar jeritan anak kemudian terus mendukung Maleesa yang menangis," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Intan Fadilah, dia sempat menjirus air sejuk dan menghalakan kipas ke bahagian muka serta badan yang melecur sebelum bergegas membawa anaknya ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk rawatan kecemasan.

"Mulanya, mata Maleesa tidak boleh dibuka dan pemerhatian awal doktor mendapati terdapat luka di sebelah kiri.

"Namun, pemeriksaan selanjutnya oleh doktor pakar mengesahkan mata Maleesa sudah pulih sepenuhnya dan hanya perlu menggunakan ubat titis dan gel.

"Bagaimanapun, Maleesa masih ditahan di wad sehingga hari ini untuk rawatan lanjut dan doktor belum memaklumkan bila dia dibenarkan pulang," katanya.

Intan Fadilah berkata, sepanjang berada di wad, Maleesa tidak banyak meragam cuma kelihatan trauma dan menangis ketakutan setiap kali doktor datang memeriksa keadaannya.

Namun, Intan nampak perubahan pada anaknya yang beransur pulih berbanding sebelum ini.

"Buat masa ini, saya yang menjaga Maleesa di wad dan Alhamdulillah, jiran sekeliling prihatin dengan keadaan kami sekeluarga dan sudi membantu menjaga tiga anak yang lain ketika suami bekerja.

"Malah, ada yang menghantar juadah berbuka puasa dan masak lauk untuk sahur jadi saya berterima kasih sangat kepada mereka begitu juga dengan rakan FB yang memberi sumbangan termasuk bekalan ubat kepada Maleesa.

"Sebenarnya, saya tidak sangka perkongsian saya di FB itu tular kerana sekadar berkongsi luahan dan kesedihan tetapi ramai memberi kata semangat. Sokongan mereka itu membuatkan saya kuat semula untuk berdepan ujian ini," katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 2:52pm
d