mutakhir

Pergi berlabuh tengah laut la...

Oleh Nurul Amanina Suhaini

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan sebuah kapal kargo kerana berlabuh tanpa kebenaran berhampiran Pulau Kukup, Pontian, petang semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, berdasarkan maklumat yang disalurkan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan, kapal kargo yang membawa muatan arang batu itu dikesan di kedudukan kira-kira tiga batu nautika selatan Pulau Kukup.

"Sebuah kapal ronda APMM dikerah ke lokasi dan hasil pemeriksaan, kapal yang berdaftar di Kepulauan Marshall itu gagal mengemukakan kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut.

"Kapal itu dikendalikan oleh nakhoda berusia 50 tahun yang mengetuai 19 anak kapal warga China berumur 19 hingga 50 tahun," katanya pada kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Kami akan terus melakukan pemantauan selain rondaan bagi memastikan perairan negara tidak diceroboh.

"Komuniti nelayan yang berdepan kecemasan di laut boleh menghubungi talian MERS 999 atau MRSC Johor Bahru di talian 07-2219231," katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 3:35pm
d