mutakhir

Premis LHDNM beroperasi dengan perkhidmatan terhad

Oleh BERNAMA

PREMIS Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) (kecuali Pusat Khidmat Hasil dan UTC) beroperasi dengan menawarkan perkhidmatan yang terhad sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

LHDNM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkhidmatan disediakan di premis berkenaan adalah Kaunter Khidmat Pelanggan (setiap hari bekerja berdasarkan negeri dari 8 pagi hingga 4 petang), Kaunter Duti Setem (hari bekerja, 8 pagi hingga 12 tengah hari), Kaunter Pusat Bayaran LHDNM (Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching) (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi-12 tengah hari), Urusan percukaian (surat penyelesaian cukai, audit, siasatan dan lain-lain) (telefon, e-mel atau janji temu), ezHASiL (24 jam) dan Panggilan telefon (Hasil Care Line: 9 pagi hingga 4.30 petang, Ahad hingga Jumaat) serta (Pejabat LHDNM: 9 pagi hingga 4.30 petang, berdasarkan hari bekerja di setiap negeri).

Bagaimanapun Kaunter e-Filing, Kaunter Bantuan Sara Hidup (BSH), Kaunter Bantuan Prihatin National (BPN) dan Kaunter Geran Khas Prihatin (GKP) tidak disediakan di cawangan LHDNM dalam tempoh PKP.

"Sepanjang tempoh PKP ini, LHDNM menerima bilangan panggilan telefon, e-mel dan permohonan dalam talian yang tinggi terutama berkaitan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan operasi percukaian.

"Walaupun berhadapan dengan kekangan yang tidak dapat dielakkan, sebagai sebuah agensi yang komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan, setiap permohonan dan pertanyaan yang diterima akan disusuli sebaik mungkin dan diambil tindakan sewajarnya," menurut kenyataan itu.

Pelbagai cara boleh digunakan orang ramai sekiranya terdapat sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan percukaian dan perkhidmatan LHDNM yang antaranya melalui portal rasminya www.hasil.gov.my, HASiL Live Chat dan laman sosial LHDNM di Facebook atau Twitter.

Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 6:52pm
d