mutakhir

Nasib Orang Asli turut dibela

TIDAK hanya golongan miskin bandar dan kampung diberi perhatian malah masyarakat Orang Asli di pedalaman turut mendapat bantuan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Difahamkan arahan PKP turut menyebabkan masyarakat Orang Asli di Gerik, Perak, terkesan dan berdepan kesukaran untuk bergerak keluar ditambah ketiadaan pengangkutan untuk ke pekan berhampiran.

Susulan itu Muslim Care Malaysia 'turun padang' untuk membantu dan memastikan masyarakat Orang Asli di Gerik tidak dipinggirkan biarpun terpaksa melalui perjalanan sukar untuk sampai ke perkampungan mereka.

Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Zulkifli Wahijan berkata, wakil Muslim Care tetap menyantuni golongan terbabit walaupun urusan penghantaran bantuan yang agak mencabar.

"Ini dibuktikan dengan kehadiran wakil Muslim Care Malaysia di beberapa perkampungan Orang Asli Sekitar Daerah Gerik, Perak.

"Usaha dimulakan awal pagi kelmarin, apabila pihak kami menuju ke pekan Gerik, Perak untuk menyerahkan bantuan.

"Sebaik tiba di pekan Gerik, kami disambut Ustaz Azizan Hashim yang berpakaian seragam anggota RELA dan mahir selok belok kawasan di situ.

"Beliau adalah salah seorang mubaligh Islam yang bekerja di bawah pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kami kemudian memastikan segala sumbangan lengkap dan dibungkus dengan baik sebelum bergerak di perkampungan Orang Asli yang pertama dalam senarai penerima bantuan dari Pejabat Agama Islam Gerik.

Menurutnya, selepas melalui laluan berliku, mereka berjaya sampai ke

Kampung Orang Asli Kelab Baru sebelum lima keluarga diberikan bantuan asas makanan.

"Misi kemudian diteruskan ke Kampung Orang Asli Selaor. Sebanyak 36 bungkusan sumbangan diagihkan kepada penghuni kampung berkenaan.

"Wakil kami kemudian bergerak pula ke Kampung Orang Asli Kabel dan juga Kampung Orang Asli Tawai sebelum sumbangan diagihkan kepada penduduk di kawasan itu," katanya.

Menurutnya, usaha menyantuni golongan itu adalah sebahagian misi Muslim Care selain memberi pelbagai bentuk sumbangan makanan, minuman, kipas, khemah, meja, alat penyukat suhu, topeng penutup mulut dan hidung, baju hujan dan pelbagai kemudahan terdesak yang amat diperlukan petugas barisan hadapan di hospital bermula 13 Mac lalu.

Orang ramai yang bersimpati turut boleh menyalurkan sumbangan kepada Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882), Bank Islam ( 14014010147470) dan Bank Muamalat (14010007654717).

Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 12:09am
d