mutakhir

[UPDATE] Penempatan dihuni Kumpulan DPEIN

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KAWASAN penempatan yang diserbu polis di hutan Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor petang tadi, dihuni oleh kumpulan Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad berkata, kumpulan itu membabitkan seramai 238 individu termasuk kanak-kanak dan bayi.

Menurutnya, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat berlaku pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berkenaan jam 5 petang.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati ia adalah kawasan hutan yang baru diteroka dan dibuat penempatan sementara.

"Banyak khemah dibina yang dijadikan sebagai tempat tinggal, tempat memasak dan mandi," katanya dalam sidang media di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini, malam ini.

Fadzil berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 76 lelaki, wanita (77) dan kanak-kanak serta bayi (85).

Menurutnya, mereka datang dari pelbagai negeri termasuk Kelantan, Pahang dan Perak sebelum menetap sementara di situ namun tujuan mereka menetap di kawasan itu masih dalam siasatan.

"Mereka dibawa ke Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor untuk dokumentasi dan siasatan lanjut," katanya.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Hulu Selangor untuk tindakan lanjut terhadap kawasan penempatan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Peraturan Penyakit-Penyakit Berjangkit 1988.

Berita berkaitan

[UPDATE] Jais siasat cara hidup kumpulan di Ulu Rening

Polis serbu penempatan di Ulu Rening

Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 12:20am
d